TAJUK 15 – KELULUSAN KERJA

TAJUK 15 – KELULUSAN KERJA

Kelulusan Sebelum Memulakan Pembinaan

Dalam industri pembinaan perumahan, kejayaan sesebuah projek juga bergantung kepada sejauh mana projek tersebut mematuhi pematuhan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Tanpa kelulusan, kerja pembinaan atau ubah suai berisiko dihentikan, diarahkan dirobohkan, atau dikenakan tindakan undang-undang. Adalah menjadi tanggungjawab kontraktor untuk memastikan semua kerja mendapat kelulusan sewajarnya.

1.      Kebenaran Merancang (KM)

Bagi kerja membina rumah baharu, pemilik rumah mesti mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) daripada PBT dan agensi yang diberi peranan seperti PBT.Permohonan KM perlu dikemukakan oleh PSP seperti arkitek bertauliah melalui Sistem One Stop Centre (OSC).

2.      Permit Kerja Ubah Suai

Permit diperlukan untuk kerja ubah suai bagi memastikan keselamatan struktur dan pematuhan peraturan bangunan.

a.      Ubah Suai Kecil

ü  Merangkumi kerja-kerja tidak melibatkan perubahan struktur utama rumah. Antaranya:

  1. Menukar pagar kepada tembok batu
  2. Membina awning, gazebo, pagola
  3. Kerja dalam rumah seperti menukar jubin atau siling (lebih 6.5 meter persegi)
  4. Memasang kabinet, sistem sanitari baharu
  5. Permit hanya boleh dipohon selepas rumah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC). Permohonan dilakukan oleh pemilik rumah sendiri dengan menyertakan dokumen seperti:
  6. Salinan geran, S&P, kad pengenalan
  7. Borang CCC/CF
  8. Pelan lakaran kerja, borang permohonan dan gambar cadangan
  9. Beberapa PBT juga memerlukan:
  10. Borang kebenaran jiran
  11. Permohonan letak bahan binaan
  12. Permohonan sewa tong RORO

b.      Ubah Suai Struktur / Major

  • Melibatkan perubahan struktur utama rumah seperti:
  • Tambah bilik atau tingkat
  • Mengubah fasad
  • Menukar fungsi ruang kediaman

Kerja ini memerlukan khidmat perunding (arkitek atau jurutera). Namun, jika menggunakan Pelan Setara yang disediakan PBT, pemilik rumah boleh membina terus tanpa perlu perunding. Contoh kerja termasuk anjung tambahan, dapur dan bilik air tambahan. Pelan Setara boleh dibeli terus di PBT dengan kos rendah.

3.      Kerja Tidak Perlu Kelulusan PBT

Sesetengah kerja kecil tidak memerlukan permit, seperti:

  1. Luar rumah: Pemasangan lampu hiasan, aircond, rain gutter, kerja mengecat, membina kolam ikan kecil, atau rumah haiwan kecil.
  2. Dalam rumah: Pemasangan kabinet pasang siap, mengecat dalaman, wainscoting, wallpaper dan penggantian paip atau pintu.

Namun, kerja-kerja ini masih tertakluk kepada saiz maksimum yang dibenarkan (kebiasaannya tidak melebihi 6.5 m² atau 70 kaki persegi).

4.      Kediaman Strata atau Kawasan Terkawal

Bagi rumah strata seperti apartment, townhouse, atau kediaman dalam kawasan kawalan (kem askar, kuarters kerajaan), pemilik mesti mendapatkan kelulusan daripada pengurusan bangunan terlebih dahulu. Ini termasuk pematuhan kepada undang-undang strata dan garis panduan pengurusan dalaman.

Tanpa kelulusan yang sah, sebarang kerja pembinaan atau ubah suai boleh ditarik balik, didenda, atau diarah berhenti serta-merta. Ini bukan sahaja merugikan pemilik rumah, tetapi turut menjejaskan imej dan reputasi kontraktor. Kontraktor mesti mematuhi semua prosedur kelulusan yang ditetapkan PBT dan pihak berkuasa berkaitan.