Ikatan Pembinaan Dengan Pemilik Rumah
Pembinaan Dengan Pemilik Rumah
Kontrak merupakan ikatan sah antara kontraktor dan pemilik rumah yang memperincikan tanggungjawab, skop kerja, harga, tempoh pelaksanaan serta kaedah pembayaran. Ia juga meliputi klausa variasi kerja, penalti kelewatan, penamatan kontrak dan cara penyelesaian pertikaian seperti rundingan, mediasi dan timbang tara.
- Langkah pertama adalah memilih jenis kontrak standard yang sesuai. Bagi kontraktor perumahan skala kecil, dua dokumen utama disyorkan oleh CIDB:
- Standard Form of Contract for Building Works (SCBW-2022) – direka untuk kerja-kerja pembinaan bangunan kecil.
- Standard Terms of Construction Contract for Renovation and Small Projects (STCC-RSP 2015) – sesuai untuk projek ubah suai dan pembinaan berskala kecil.
Kontrak ini menyediakan struktur undang-undang yang jelas dan seimbang untuk melindungi kedua-dua pihak dan mematuhi piawaian industri pembinaan di Malaysia.
- Kandungan kontrak perlu lengkap dan menyeluruh. Antara perkara wajib yang perlu dimasukkan termasuklah:
- Skop kerja: Perincikan segala tugas dan aktiviti pembinaan yang perlu dilaksanakan.
- Harga projek: Termasuk skop kerja, provisional sum dan prime cost sum.
- Tempoh pelaksanaan: Tetapkan tarikh mula dan jangkaan tarikh siap.
- Kaedah pembayaran: Nyatakan jadual bayaran mengikut terma yang dipersetujui.
- Klausa variasi kerja: Sebarang perubahan mesti didokumenkan melalui Variation Order (VO) dan dipersetujui secara bertulis.
- Penalti kelewatan: Sertakan penalti sekiranya projek lewat disiapkan mengikut jadual asal.
- Penamatan kontrak: Terangkan situasi di mana mana-mana pihak boleh menamatkan kontrak.
- Penyelesaian pertikaian: Gariskan mekanisma untuk menyelesaikan pertikaian, sama ada melalui rundingan, mediasi atau arbitrasi.
- Semasa proses penandatanganan, pastikan pemilik rumah memahami sepenuhnya kandungan kontrak. Lakukan perbincangan terperinci bagi menjelaskan semua terma dan syarat dan tandatangan kontrak harus dibuat di hadapan saksi. Kedua-dua pihak mesti menyimpan salinan asal kontrak sebagai rujukan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
- Semasa projek berjalan, adalah perkara biasa jika berlaku perubahan skop kerja. Sebarang perubahan mesti melalui prosedur Variation Orderdan tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan bertulis. Ini penting untuk mengelakkan pertikaian dan memastikan kos tambahan diluluskan dengan sah.
- Mengapa kontrak penting?
- Ia mengurangkan risiko konflik kerana semua perincian telah dinyatakan dengan jelas.
- Kontrak meningkatkan kepercayaan pemilik rumah terhadap profesionalisme kontraktor.
- Kontrak dapat melindungi hak kedua-dua pihak sekiranya berlaku sebarang isu undang-undang atau kelewatan.
Kontrak pembinaan yang lengkap dan jelas bukan sahaja menjamin kelancaran projek, malah memberi kelebihan kepada kontraktor dalam membina reputasi yang baik dalam industri. Jika terdapat mana-mana klausa yang rumit atau membingungkan, dapatkan nasihat daripada peguam atau perunding undang-undang agar kepentingan anda sebagai kontraktor sentiasa terpelihara.