TAJUK 17 – PENGURUSAN KUALITI

TAJUK 17 – PENGURUSAN KUALITI

Pelan Kualiti Projek

Dalam industri pembinaan perumahan, Pelan Kualiti Projek atau Project Quality Plan (PQP) merupakan satu dokumen penting yang menjadi rujukan utama dalam memastikan hasil kerja kontraktor mencapai standard yang ditetapkan. PQP bukan sekadar alat pengurusan, tetapi adalah bukti komitmen kontraktor terhadap kualiti, keselamatan dan kepuasan pemilik rumah. Ia bukan sahaja menjamin kepatuhan terhadap kontrak, malah menjadi panduan dalam semua aspek kerja, daripada perancangan awal sehinggalah ke serahan akhir rumah.

1.      Perincian dan Tujuan PQP

PQP disediakan berdasarkan keperluan kontrak dan disesuaikan dengan skop kerja, kaedah pelaksanaan, tanggungjawab individu, jadual pelaksanaan serta kaedah pemantauan dan pengesahan. Tujuannya adalah untuk memberi panduan kerja secara sistematik, selamat dan terkawal.

Antara kandungan utama PQP termasuk:

  1. Objektif projek (dari segi kos, masa, keselamatan dan kualiti)
  2. Carta organisasi projek
  3. Prosedur kerja dan Method Statement
  4. Rujukan kepada piawaian industri seperti Construction Industry Standard (CIS), SPAN UTG dan Malaysia Standard

2.      Sistem Jaminan Kualiti atau Quality Assurance System(QAS)

QAS dalam PQP melibatkan tiga komponen penting:

  1. Perancangan Kualiti (Quality Planning): Merancang bagaimana kerja dilaksanakan dan dokumen rujukan yang akan digunakan.
  2. Kawalan Kualiti (Quality Control): Ujian dan pemeriksaan semasa kerja berlangsung, termasuk dokumentasi dan pemantauan hasil kerja.
  3. Kepastian Kualiti (Quality Assurance): Bukti pematuhan hasil ujian, dokumen serahan dan jaminan kerja berkualiti.

3.      Jenis Pengujian dan Penerimaan Tapak

Pengujian kualiti perlu dilakukan secara menyeluruh di semua peringkat kerja, contohnya:

  1. Ujian Tanah dan Tapak: CBR test untuk menentukan kekuatan tanah.
  2. Ujian Struktur: Cube test pada konkrit untuk mengukur kekuatan dan ketahanan.
  3. Ujian Lantai: Siraman air untuk memastikan tiada takungan dan aliran lancar ke saliran.
  4. Ujian Dinding: Ujian cahaya selepas lepa untuk memastikan tiada belam atau permukaan yang tidak rata.
  5. Ujian Bumbung: Ujian siraman air untuk mengesan kebocoran atau takungan.
  6. Ujian Elektrik: Gunakan multimeter, earth tester dan peralatan lain untuk pastikan arus dan voltan selamat.
  7. Ujian Paip: Ukur aliran dan tekanan air untuk pastikan konsistensi dan penggunaan bahan yang diluluskan.
  8. Ujian Kualiti Udara: Bagi sistem penghawa dingin, gunakan manifold gauge untuk periksa tekanan sistem.

4.      Penyerahan Rumah

Penyerahan hanya boleh dilakukan apabila semua pengujian, pemeriksaan dan dokumentasi lengkap telah disahkan. Rumah dianggap layak diserah hanya apabila semua spesifikasi kontrak dipenuhi dan disahkan bebas dari kecacatan yang ketara.

5.      Pembetulan & Penambahbaikan Kualiti

Jika terdapat kecacatan atau ketidakpatuhan terhadap kualiti semasa pemeriksaan atau selepas penyerahan, kontraktor wajib melaksanakan pembetulan segera. Ini termasuk pembaikan dalam tempoh tanggungan kecacatan (defect liability period) dan memastikan rumah berfungsi dengan sempurna serta mematuhi semua kehendak kontrak.

Pelaksanaan PQP yang konsisten akan memastikan projek siap mengikut masa, bajet dan piawaian yang ditetapkan. Lebih penting, ia menjadi satu tanda aras amalan terbaik dalam industri pembinaan yang patut dicontohi oleh semua kontraktor perumahan di Malaysia.