Kuasai 5M untuk Kejayaan Projek
Dalam dunia pembinaan perumahan, kejayaan sesuatu projek sangat bergantung kepada keupayaan kontraktor dalam merancang dan mengurus sumber pembinaan dengan berkesan. Sebelum memulakan kerja membina atau mengubahsuai rumah, kontraktor perlu memberi perhatian kepada lima komponen utama yang dikenali sebagai 5M: Manpower, Material, Machinery, Money dan Method Statement. Pengurusan 5M yang cekap akan memastikan projek berjalan lancar, selamat dan mengikut bajet yang ditetapkan.
1. Manpower (Tenaga Kerja)
Tenaga kerja adalah tulang belakang setiap projek pembinaan. Kontraktor perlu menyediakan pasukan kerja yang berpengalaman dan berkemahiran, yang merangkumi:
- Pengurus Tapak / Penyelia – Berpengalaman dan memiliki sijil tauliah dari CIDB.
- Pekerja Mahir – Seperti tukang kayu, tukang jubin, tukang cat dan tukang bumbung.
- Pekerja Am / Kurang Mahir – Melaksanakan kerja buruh kasar atau sokongan.
- Pakar Berlesen – Termasuk pemasang IBS, juruelektrik bertauliah dari Suruhanjaya Tenaga dan jurupaip berdaftar di bawah SPAN.
Pastikan semua tenaga kerja memiliki Kad Hijau CIDB dan mematuhi aspek keselamatan. Tenaga kerja yang cekap membantu mengurangkan pembaziran, kesilapan teknikal dan mempercepatkan penyempurnaan kerja.
2. Material (Bahan Binaan)
Bahan binaan adalah nadi kepada kualiti struktur yang dibina. Gunakan bahan yang diluluskan di bawah Jadual 4 Akta CIDB, seperti:
- Bahan Asas: Simen, pasir, bata, besi tetulang
- Struktur: Konkrit pratuang, keluli
- Kemasan: Jubin, cat, siling
Pastikan bahan yang memerlukan pensijilan mematuhi piawaian industri. Rancang pembelian dan penyimpanan dengan baik. Simpan bahan dalam keadaan selamat dan terlindung daripada hujan atau haba berlebihan bagi menjaga kualitinya.
3. Machinery (Jentera & Peralatan)
Penggunaan jentera yang sesuai membantu mempercepatkan kerja dan menjamin keselamatan. Kategori jentera termasuk:
- Jentera Utama: Jengkaut, concrete mixer, crane
- Peralatan Kecil: Pemotong jubin, gerudi, scaffolding dan alat tangan
Pastikan semua jentera diselenggara secara berkala dan dikendalikan oleh operator yang berlesen. Pilih jentera yang bersesuaian dengan saiz projek dan ruang tapak bagi mengelakkan pembaziran dan kesesakan.
4. Money (Kewangan)
Modal adalah enjin utama yang menggerakkan projek. Kontraktor perlu merancang aliran tunai yang mencukupi untuk:
- Membayar gaji pekerja
- Membeli bahan binaan
- Menyewa jentera
Sediakan rizab kecemasan 10–20% daripada bajet projek bagi menampung kos tidak dijangka. Pantau aliran tunai secara mingguan, bukan bulanan, agar masalah kewangan dapat dikesan dan ditangani lebih awal.
5. Method Statement (Penyata Kaedah Kerja)
Ini adalah panduan teknikal bagi setiap kerja yang akan dilaksanakan. Penyata ini mesti jelas, lengkap dan boleh dikongsi dengan pemilik rumah atau konsultan sebelum kerja bermula. Kandungannya merangkumi:
- Jadual kerja seperti Gantt Chart
- Carta organisasi pasukan kerja
- Prosedur keselamatan termasuk pemakaian PPE dan laluan kecemasan
Pastikan kaedah kerja ini dikemaskini jika berlaku perubahan spesifikasi projek. Dapatkan pengesahan daripada jurutera atau arkitek terutamanya bagi kerja-kerja kompleks. Menguasai 5M dalam pengurusan sumber pembinaan bukan sahaja menjadikan kontraktor lebih cekap, malah mengurangkan risiko kegagalan projek. Dengan perancangan rapi dalam sumber projek, kontraktor boleh menyampaikan hasil kerja yang berkualiti, selamat dan dipercayai pemilik rumah.