TAJUK 12 – TUNTUTAN BAYARAN

TAJUK 12 – TUNTUTAN BAYARAN

Menuntut Bayaran Kerja

Aliran tunai yang lancar memastikan kerja-kerja pembinaan tidak tergendala dan dapat disiapkan mengikut jadual. Memahami proses tuntutan bayaran yang sistematik dan beretika amat penting untuk menjamin kejayaan projek serta membina keyakinan pemilik rumah.

1.      Tentukan Jadual Bayaran Dalam Kontrak

Langkah pertama sebelum menuntut bayaran adalah memastikan wujudnya jadual bayaran yang jelas dalam perjanjian kontrak. Jadual ini perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan dijadikan rujukan utama sepanjang pelaksanaan projek. Antara komponen jadual bayaran yang lazim digunakan adalah:

  1. Deposit Awal: Biasanya 10% hingga 30% dibayar sebelum kerja bermula. Ini menunjukkan komitmen pemilik rumah.
    1. Bayaran Kemajuan (Progress Payment): Dibayar secara berperingkat mengikut peratusan kemajuan kerja.
    1. Bayaran Akhir: Dibayar selepas kerja disiapkan dan disahkan oleh pemilik atau perunding.
    1. Wang Tahanan (Retention Money): Antara 5% hingga 10% daripada jumlah kontrak yang ditahan untuk tempoh jaminan kecacatan (biasanya 3-6 bulan selepas siap projek).

2.      Sediakan Tuntutan Bayaran Secara Rasmi

Setiap kali kerja di tapak mencapai tahap tertentu, kontraktor perlu menyediakan dokumen tuntutan bayaran yang lengkap dan sah. Antara dokumen yang perlu disertakan adalah:

  1. Bukti kerja dilakukan – Gambar sebelum, semasa dan selepas kerja dilakukan.
  2. Laporan Kemajuan Kerja – Disusun mengikut skop kerja untuk menunjukkan perkembangan.
  3. Perakuan Pematuhan Kualiti – Menyatakan bahawa kerja yang disiapkan menepati spesifikasi dan standard dalam kontrak.
  4. Sijil Pengesahan Kerja – Disahkan oleh pemilik rumah atau perunding binaan.
  5. Invois Rasmi – Menyenaraikan skop kerja, jumlah tuntutan dan butiran bayaran.
  6. Penyediaan dokumen ini menunjukkan profesionalisme kontraktor dan memudahkan proses bayaran.

3.      Elakkan Tuntutan Tanpa Justifikasi

Kontraktor perlu memastikan bahawa tuntutan hanya dibuat untuk kerja yang telah siap. Tindakan menuntut bayaran bagi kerja yang belum dilaksanakan boleh menjejaskan kepercayaan pemilik rumah dan membawa risiko pertikaian. Pastikan setiap tuntutan disertakan dengan bukti yang lengkap dan boleh disahkan.

4.      Rekod dan Simpan Segala Transaksi

Semua resit bayaran, bukti pemindahan bank, salinan invois dan rekod komunikasi dengan pemilik rumah mesti disimpan dengan baik. Ini penting bagi tujuan pengauditan, penyelesaian pertikaian dan sebagai rujukan masa hadapan.

5.      Ukur Risiko Apabila Bayaran Tidak Dibuat

Jika pemilik rumah gagal menjelaskan bayaran tanpa alasan munasabah, kontraktor perlu berhati-hati sebelum meneruskan kerja seterusnya. Ukur risiko dan nilai sama ada projek boleh diteruskan atau wajar dihentikan sementara untuk menyelamatkan kewangan syarikat.

Contoh Jadual Tuntutan Bayaran (Projek Rumah Banglo)

Peringkat KerjaPeratus BayaranTindakan
Deposit Awal20%Sebelum mula kerja
Siap kerja asas tapak15%Dengan laporan tapak
Siap struktur konkrit25%Sertakan gambar
Siap bumbung dan dinding20%Pemeriksaan bersama
Siap kerja kemasan15%Invois akhir
Retention (3 bulan)5%Lepas tamat jaminan

Tuntutan bayaran yang teratur bukan sahaja membantuk memastikan kelangsungan projek, malah memupuk keyakinan pemilik rumah terhadap profesionalisme kontraktor. Bayaran yang diterima tepat pada masa juga membantu memastikan projek berjalan lancar hingga ke projek siap.