Asas Kepercayaan dan Tanggungjawab
Sebagai kontraktor perumahan, pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang bukan sahaja satu keperluan sah, malah ia mencerminkan tahap profesionalisme dan kebertanggungjawaban kontraktor terhadap pemilik rumah serta industri. Langkah awal untuk menjadi kontraktor yang dipercayai adalah dengan memahami dan mengikuti semua peraturan berkaitan dengan pembinaan dan pengubahsuaian rumah.
- Pendaftaran Perniagaan
Langkah pertama adalah memastikan perniagaan didaftarkan secara sah di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengikut peruntukan Akta Syarikat 2016 (Akta 777). Bagi kontraktor di Sabah, pendaftaran boleh dibuat di pejabat daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah masing-masing. Di Sarawak pula, pendaftaran dilakukan di pejabat daerah kecuali untuk kawasan Bandaraya Kuching yang dikendalikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). - Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) dari CIDB
Semua kontraktor perlu berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan memiliki Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) di bawah Akta CIDB 1994 (Akta 520). Tanpa PPK, sebarang kerja binaan yang dijalankan dianggap tidak sah dan boleh dikenakan tindakan. - Lesen Kerja Elektrik dan Paip
Untuk kerja-kerja elektrik, kontraktor perlu berdaftar di bawah Suruhanjaya Tenaga (ST) mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Peraturan 1994. Di Sarawak, pendaftaran kontraktor elektrik dikendalikan oleh Electrical Inspectorate Unit (EIU) di bawah Kementerian Utiliti Negeri Sarawak.
Untuk kerja-kerja pepaipan, pendaftaran mestilah dibuat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 654). - Pematuhan Akta dan Undang-Undang Berkaitan Pembinaan
Kontraktor mesti memahami dan mematuhi peraturan yang berkaitan seperti: - Akta 133 – Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974
- Akta 171 – Akta Kerajaan Tempatan 1976
- Akta 172 – Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976
- Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Pindaan 2007)
Memahami akta ini penting bagi memastikan kerja pembinaan tidak melanggar kelulusan pelan, syarat pembangunan atau peraturan tempatan.
- Kod Pengkhususan CIDB
Kontraktor perlu memohon Kod Pengkhususan CIDB yang relevan:- B04 untuk kerja membina rumah
- B28 untuk kerja ubah suai rumah
Permohonan Kod Pengkhususan boleh dibuat secara talian melalui sistem Construction Industry Management System (CIMS).
- Kad Personel Binaan atau Kad Hijau CIDB
Kontraktor dan semua pekerja tapak wajib memiliki Kad Hijau CIDB (Kad Pendaftaran Personel Binaan) sebagai bukti mereka telah menjalani Latihan Keselamatan & Kesihatan. Ini adalah syarat wajib untuk memasuki tapak binaan berdaftar. - Kelayakan dan Kompetensi
Kontraktor juga perlu memastikan bahawa mereka atau pekerja mereka mempunyai kemahiran dan kelayakan bertauliah bagi kerja-kerja yang dijalankan. CIDB dan agensi berkaitan ada menyediakan latihan dan pensijilan bagi memastikan mutu kerja yang selamat dan berkualiti.
Mematuhi peraturan bukan sekadar keperluan undang-undang, tetapi juga tanggungjawab moral dan profesional. Ia memberi keyakinan kepada pemilik rumah, mengurangkan risiko saman atau denda dan membuka ruang lebih luas kepada projek berskala besar di masa hadapan. Kontraktor yang mengamalkan pematuhan akan dihormati dan lebih berdaya saing dalam industri pembinaan perumahan.